Maklumat Produk
Description
MAKLUMAT PRODUK
SINOPSIS : BELENGGU - AFFIEYZA ISAHAK Mawarni, anak kepada pasangan Darus dan juga Manis. Dia anak kesayangan dalam keluarga. Suatu hari, ketika dia bersama abangnya Abey Luqman mengikut ayah mereka pergi mengail ikan ketutu, berlaku satu peristiwa yang merubah kehidupan mereka. Mawarni yang latah orangnya telah terjatuh ke sungai dan dibawa arus menghilang ke pusaran air di Lubuk Sireh. Dia yang dikejutkan oleh abangnya ketika sedang menjamah kuih dangai hasil air tangan si ibu telah melatah lalu terjatuh ke sungai tanpa sempat abangnya menarik tangannya. Si ayah yang sedang menanti umpan diragut ikan ketutu di lubuk berhampiran, tergamam dengan kejadian yang terlalu pantas itu. Dia tidak sanggup untuk kehilangan anak gadisnya kerana tidak mahu isterinya menjadi tidak siuman apatah lagi dahulu anaknya itu pernah hilang akibat disorok puaka yang mendiami Lubuk Sireh. Keadaan isterinya ketika itu amat menyedihkan. Abey Luqman tidak berjaya menemui adiknya, Mawarni di pusaran air. Silap hari bulan, dia sendiri boleh lemas. Dia memberi cadangan untuk meminta bantuan orang kampung dan meminta ayahnya menunggu di daratan. Sepeninggalan anaknya, Darus didatangi puaka Lubuk Sireh yang membawa jasad anaknya yang sudah tidak bernyawa. Puaka itu mahukan habuan sebagai galang ganti. Dalam kekalutan, Darus buntu dan dia telah membuat satu kesilapan besar dalam hidupnya. Demi isteri, perjanjian dimeterai. Anaknya Mawarni kembali ‘hidup’! Darus terpaksa! Abey Luqman yang baru tiba di rumah untuk memberitahu ibunya akan apa yang telah berlaku telah dikejutkan dengan kepulangan ayahnya. Lebih memeranjatkan apabila adiknya turut ada namun masih tidak sedarkan diri. Mustahil bagi sesiapa yang terjatuh ke dalam pusaran air itu dapat hidup semula. Sudah banyak nyawa yang terkorban dek puaka yang menghuni sungai di Lubuk Sireh dan kemunculan Mawarni yang mash hidup amatlah mengejutkan. Meskipun begitu, Abey Luqman dapat menarik nafas lega walaupun dia tahu pasti sudah berlaku sesuatu di sungai tadi tanpa pengetahuannya. Hari demi hari tingkah adiknya sangat berlainan sifatnya, bertambah yakin lagi apabila adiknya sudah tidak melatah. Demi mencari habuan, Darus terpaksa berterus terang pada anaknya. Abey Luqman terduduk dan mula berasa seram setiap kali bertembung dengan adiknya kerana dia tahu, itu bukanlah adiknya tetapi jelmaan daripada puaka Lubuk Sireh! Tiga sahabat, Shahrul, Helmi dan Alfian telah menjejaki lubuk ikan ketutu dengan bantuan Abey. Cara Abey mengumpan ikan sejenis pemangsa itu amatlah mengagumkan meskipun ada yang berasa sangsi. Kembali dari Lubuk Sireh, pelbagai perkara telah berlaku termasuklah Shahrul yang tubuhnya sakit akibat kayap. Melalui bantuan Abey, sekali lagi mereka kembali ke sana tetapi kali ini untuk mengubati Shahrul. Pinta Darus, Shahrul perlu ditinggalkan di sana selama tiga hari bagi tujuan perubatan. Mengenangkan di rumah Darus ada seorang gadis manis bernama Mawarni, Alfian tidak senang duduk apabila mula memasang angan kerana hanya dia yang belum berumah tangga. Alfian kembali ke Lubuk Sireh selepas mendapat tahu Helmi ke sana seorang diri bagi menjemput Shahrul. Menurut Dharia, suaminya Helmi, tidak pulang-pulang setelah ke sana. Alfian ke sana dan membawa dua sahabatnya pulang tetapi bukan Shahrul dan Helmi yang Alfian bawa pulang tetapi puaka Lubuk Sireh. Sejak itu, perkara pelik mula berlaku dalam keluarga Shahrul dan juga Helmi. Kandungan Dharia hilang, ibunya pula menghembuskan nafas gara-gara puaka itu. Alfian pula tiba-tiba jatuh sakit dan hanya seseorang yang terlintas dalam fikirannya untuk dia meminta bantuan, Darus. Alfian kembali ke sana seorang diri dan sebelum masuk ke dalam hutan, dia bertemu dengan seorang lelaki misteri yang bernama Aafi Fahryan yang digelar ustaz rock di sebabkan penampilan diri lelaki itu. Dalam perjalanan, ada seekor burung yang menemaninya. Ketika hampir tiba di perkarangan rumah Darus, Alfian terkejut apabila mendapati Shahrul dan Helmi ada di sana namun sesuatu telah berlaku dan dia tidak sedarkan diri. Apabila sedar saja, dia sudah berada di rumah lelaki misteri itu. Dengan bantuan Aafi, Alfian dapat menyelamatkan kembali sahabat-sahabatnya yang tertinggal di sana. SINOPSIS : LUBUK BUSUT - HAFIZUDDIN GHAZALI Munirah anak kepada seorang bomoh kampung iaitu Mak Anjang. Seluruh penduduk kampung mengenali Mak Anjang yang boleh mengubat pelbagai penyakit. Dari itu, Mak Anjang membantu Munirah untuk mendapatkan Rahman yang baru balik dari laut. Ketika itu, Rahman merupakan kekasih kepada kawan baik Munirah, Norsiah. Usai saja mendapatkan Rahman, Mak Anjang pula meninggal dunia. Segala ilmu yang diberikan oleh Mak Anjang melalui kitab hitam perlu Munirah amalkan supaya hidupnya tidak diganggu. Tapi Munirah tidak mahu mengamalkan ajaran sesat itu. Dia meminta Imam Matzin untuk membantunya membuangkan kesemua saka peliharaan Mak Anjang. Imam Matzin bersetuju untuk membantu Munirah, tapi dengan syarat. Apabila Imam Matzin berjaya memasukkan jin ke dalam botol, dia perlu buang botol itu ke Lubuk Busut. Lubuk Busut pula penuh dengan kisah misteri dan seramnya. Bermula dengan kematian Sudir yang mati kerana kencing ke atas busut jantan yang tumbuh di kawasan itu. Dia mati diserang anai-anai yang membalas dendam akibat perbuatan Sudir itu. Rahman menjadi saksi utama kematian itu ketika hendak mendapatkan bantuan dari Imam Matzin. Orang kampung kata Lubuk Busut itu tempat orang dulu-dulu membuang saka. Tapi Munirah sendiri antara yakin dengan tidak kisah itu. Selesai saja Munirah meletakkan botol itu di atas batu yang menyerupai busut jantan, dia terus berlari meninggalkan lubuk seram itu. Tidak lama selepas membuang jin belaan Mak Anjang, dia mula diganggu. Benar kata Mak Anjang, dia akan diganggu jika tidak mengendahkan jin belaannya itu. Setiap masa tidak kira siang atau malam, gangguan itu akan kembali menghantui Munirah. Dia mendapatkan bantuan Imam Matzin untuk memagar kawasan rumahnya agar syaitan itu tidak mengganggunya lagi. Ternyata selepas dipagar, gangguan itu semakin galak. Walaupun Rahman ada di rumah lagi-lagi ketika waktu tidur, Rahman tidak mampu mendengarkan gangguan itu. hanya Munirah saja yang mendengar dan merasai. Bunyi cakaran, orang lalu di atap, dinding dibaling batu, periuk di dapur dijatuhkan dan pelbagai lagi gangguan. Kemunculan Faizal, seorang rakan sekolah Rahman telah mengubah hidup Munirah. Faizal mengajak Rahman memancing di Lubuk Busut untuk melepaskan gian. Sementara Rahman pergi memancing, Munirah sekali lagi diganggu. Tidak cukup siang, sampai ke malam dia diganggu. Sehinggalah kemunculan Faizal secara tiba-tiba. Faizal mengatakan Rahman sudah meninggal dunia ketika memancing. Mayatnya mengering. Munirah tidak tahu apakah yang mengganggunya itu saka belaannya dulu atau lain. Kenapa suaminya pula yang menerima akibat. Mayat Rahman dibawa pulang, orang kampung mula membacakan surah Yasin untuk jenazah Rahman. Semasa membaca ayat suci itu, rumah Munirah sekali lagi diganggu hingga membuatkan penduduk kampung bertempiaran melarikan diri untuk menyelamatkan diri. Ternyata satu lembaga hitam mula menyerang rumah Munirah. Imam Matzin cuba melawan makhluk itu yang merasuk Munirah. Lembaga itu tetap tidak mahu memberitahu siapakah tuan baharunya. Selesai saja urusan Imam Matzin mengalahkan lembaga itu yang melarikan diri dengan bertukar menjadi bebola api. Imam Matzin dikhabarkan pula dengan kebakaran di rumah Norsiah. Rupanya makhluk yang melarikan diri itu adalah milik Norsiah. Norsiah sendiri yang mencuri kitab hitam Mak Anjang semasa kenduri tahlil arwah Mak Anjang. Dan dia juga yang mencuri botol yang berisi jin yang tidak sempat dibuang oleh Munirah. Niatnya satu, hendak membunuh Munirah dan Rahman. Tapi akibat kebakaran itu, Norsiah mati berpelukan bersama Tok Ngah Mirah. Seorang bomoh yang membantu Norsiah dan juga bekas guru kepada Mak Anjang. SINOPSIS : LEMBAH PUAKA – IZA IMAN Kisah masa kecil Adira terungkai satu persatu setelah Adira, Fauzi dan Amirul mengikuti satu kem pendakian. Adira hilang dan ditemukan berbaring di tebing sungai. Fauzi dan Amirul bersyukur kerana Adira dapat diselamatkan. Kejadian yang menimpa Adira menyebabkan hati Fauzi tidak tenang. Dia berasa pelik dengan keadaan yang Adira alami. Kenapa Adira boleh tersesat sebegitu jauh sehingga gagal dikesan? Masa mereka bertiga sudah berjalan, lubuk air tadi berputar dengan deras. Ya, ada sesuatu yang menariknya. Itu adalah lubuk kegelapan yang mahukan Adira. Apakah kaitan lubuk kegelapan itu dengan Adira? Semuanya masih lagi menjadi tanda tanya. Setiba di hadapan khemah, Amirul melepaskan tangannya namun, pegangan Fauzi masih tidak berganjak. Anak matanya masih utuh merenung Adira. “Ada sesuatu yang bawa kau ke sana kan, Dira?” tanya Fauzi serius. “Tak ada, Zi,” jawab Adira lambat-lambat. “Kau jangan nak tipu akulah, Dira. Kau cakap, apa yang kau nampak tadi?” tekan Fauzi lagi. “Aku tak faham apa yang kau cakap ni, Zi.” Perlahan-lahan Adira melangkah masuk ke dalam khemah. Disebabkan semua itu juga Fauzi memarahi Adira. Akhirnya, Fauzi membawa Adira balik ke kampung. Keadaan Adira dapat dihidu oleh Pak Husin, datuk Fauzi. Pak Husin menceritakan semula kisah masa kecil Adira yang tidak seindah kanak-kanak lain. Hidup Adira jadi buruan oleh entiti-entiti jahat. Ibu bapa Adira telah melalui satu proses hidup yang sukar sepanjang membesarkan Adira. Adira menginjak ke alam dewasa dan sering mengalami igauan-igauan di dalam mimpi. Dia turut mendengar bisikan halus suara yang bergemersik menyeru namanya. Alunan itu begitu mendamaikan jiwa. Adira seakan terpanggil untuk mengikuti arah seruan itu. Setiap hari Adira mengalami kejadian yang sama. Di sebuah lubuk, ada aliran air sungai yang jernih. Di sanalah Adira mendengar seruan-seruan itu. Begitulah seterusnya. Suara-suara itu tidak akan berhenti menyerunya walaupun di alam mimpi sekalinya. Pada mulanya Adira menganggap semua yang dialaminya sebagai perkara biasa dan hanya mainan tidur namun jiwanya bagaikan dibelit. Adira juga kerap termenung kerana semua itu. Adira bagaikan terbuai dengan keasyikan. Dari mana datangnya semua itu? Apa yang mereka mahukan? Mengikut penjelasan Pak Husin, apa yang Adira dengar semuanya bukan dari sisi baik. Itu adalah seruan kejahatan. Mereka hendak menakluki Adira. Apabila Adira telah ditakluk, itu akan jadi satu kekuatan pada mereka. Adira akan kekal di alam mereka. Demi untuk menghalang segala kejadian itu berulang lagi, Adira harus menentang sendiri entiti-entiti itu. Kekuatan akan Pak Husin salurkan pada Adira. Dia tahu, Adira boleh menewaskan mereka. Adira berjanji untuk memperkukuhkan hati. Dia akan berhadapan dengan mereka sendiri. Berjayakah Adira menewaskan mereka? Atau hidup Adira akan berakhir?