Product Info
Description
PRODUCT INFORMATION
Dunia yang berbeza bagai langit dan bumi, bukankah ada udara yang berada di antaranya dan menyatukan kedua-duanya? Mereka dari dunia yang berbeza, ibarat langit dan bumi! Si jejaka dari dunia bergemerlapan, popular, glamor dan digilai ramai. Si gadis pula dari dunia pendidikan, cendekiawan, glamor dalam kelompok tersendiri. Tidak diduga dan tidak dirancang, pertemuan ini telah mengikat kedua-duanya. Felix Iskandar... kariernya berada di kemuncak, segala-galanya tersusun rapi. Perancangannya tidak pernah tersasar tetapi, kenapa kali ini dia lari dari agendanya? Perkahwinan bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan bukan boleh diatur dengan sesiapa sahaja. Perkahwinan adalah keputusan seumur hidup. Namun begitu, kenapa dia boleh terikat? Wirdani... gadis berpendidikan, berdikari dan hidup bersendirian menjadikan dia kental. Cita-citanya tinggi ingin mencapai pelangi dan pergi lebih jauh meninggalkan memori silam yang pahit untuk dikenang. Namun, dia berada di tempat yang salah dan waktu yang salah. Dia terperangkap oleh keadaan. Tegarkah dia melalui ikatan perkahwinan kali kedua? Situasi yang berbeza namun, pengakhirannya hampir sama! Namun, penyatuan ini cuma setahun. Cuma setahun? Benarkah ikatan yang terjerat ini hanya setahun? Perkahwinan tidak ada dalam perancangan hidup mereka. Tidak pernah ada! Itu adalah perancangan terakhir untuk difikirkan setelah semua impian tercapai. Sumpahan apakah ini? Felix Iskandar dan Wirdani, dua jiwa berbeza personaliti dan karier ditemukan tanpa diduga dan dirancang. Ikatan dimeterai demi menyelamatkan karier dan imej walaupun terpaksa mempertaruhkan status diri. Segala syarat dipersetujui dan ia cuma setahun. Dalam setahun, ada rasa yang membenih. Namun, kedua-duanya perlu tegar melalui hari-hari sehingga ke waktunya. Mereka punyai kisah silam yang masih mengisi kehidupan dan bagaimana menanganinya sedangkan rasa itu telah ada? Keikhlasan kasih sayang Wirdani diuji dan kesetiaan Felix Iskandar diduga. Sesungguhnya jarak yang ada dalam perpisahan adalah pengajaran terbaik untuk memperbaiki diri, mengukur kasih sayang dan menentukan rasa hati. Benarkah ikatan ini cuma setahun?