商品资料:
Description
内容简介
… yang memberi aku perasaan itu. TIGA tahun terpisah dan kemudian bertemu semula, Nurul Aileen tidak mampu menyorokkan perasaannya terhadap Adam Haidar. Kerana sememangnya, hatinya hanya menginginkan Adam. Hanya dia! Tetapi… “Ada apa dengan kita?” – Adam Haidar Layanan dingin Adam jauh berbeza dengan setiap gerak-gerinya. Aileen yakin Adam turut berkongsi perasaan yang sama dengannya. Namun sayang, tidak semudah itu. Di antara Aileen dan Adam, ada satu tali penghubung bernama Auliya. Kerana Auliya, mereka bersatu tetapi kerana Auliya juga, mereka pernah berpisah. Bagaimana pula dengan sekarang? Adakah Auliya akan tetap menjadi garis yang memisahkan? “Sampai bila aku kena cemburukan orang yang dah meninggal dunia?” – Nurul Aileen Aileen menyimpan rahsia, Adam terbelenggu dengan rasa berdosa dan sebuah janji. Tidak cukup dengan itu, Aileen perlu hadap kebencian ibu bapanya terhadap Adam. Dosa silam seseorang mampu menggugah hubungan Aileen dan Adam. Kewujudan Zayyan turut menyukarkan lagi keadaan. “Kadang-kadang melepaskan jauh lebih baik daripada bertahan. Lepaskan Adam, Leen. Lupakan dia,” – Zayyan Benarkah kesakitan Aileen bisa hilang selepas dia melepaskan Adam? Adakah sememangnya dia dan Adam tidak ditakdirkan bersama? Aileen yang bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman Zayyan selalu berperang mulut dengannya. Mereka bergaduh persis budak kecil. Namun ada ketikanya, Aileen hilang bicara di hadapan Zayyan. Sudah berkali-kali, perilaku dan dialog Zayyan mengingatkan Aileen kepada seseorang sekali gus membuatkan hati Aileen rapuh. Suatu hari, Aileen dipertemukan dengan sepupu Zayyan, iaitu Adam. Perasaan Aileen tika itu, Tuhan saja yang tahu. Kerana senyatanya, Adamlah lelaki yang selalu dia rindukan dalam diam. Tiga tahun lalu mereka bernikah tetapi selepas tiga bulan, Aileen pergi meninggalkan lelaki itu. Tak sangka, takdir pertemukan mereka semula di rumah keluarga Zayyan. Tak dapat Aileen sorokkan rasa rindunya kepada Adam manakala lelaki itu pula, tak sudah-sudah melayannya dingin. Adam hanya bercakap dengannya setiap kali nama Auliya, kakak Aileen dibangkitkan. Serta-merta Aileen teringatkan janji yang dipateri mereka dahulu. Ya, Adam dan Aileen bernikah hanya kerana Auliya. Mereka ingin mencari tahu apa sebenarnya punca kematian Auliya. Walaupun sudah tiga tahun berlalu, Adam masih ingat janji tersebut tetapi Aileen pula, tak lagi mengharapkan janji itu ditunaikan Adam. Aileen hanya mahukan Adam memandangnya seorang, tanpa dibayangi Auliya yang telahpun meninggal dunia. Sedalam mana kasih sayang Aileen pada Auliya, tetap tergugat dek rasa cemburunya. Tak betah lagi memendam rasa, akhirnya Aileen minta Adam menceraikannya. Aileen dan Adam bergaduh besar. Aileen mengungkit tentang perasaan Adam terhadap Auliya, Adam pula mengungkit tentang Aileen yang meninggalkannya tiga tahun lepas. Adam menuntut penjelasan daripada Aileen, mahu tahu kenapa Aileen lari daripadanya. Kisah lama Auliya datang menghantui Aileen dan Adam. Sebenarnya Auliya merupakan adik-beradik seibu dengan Aileen, berlainan bapa. Puan Amalin telah dirogol Kamaruddin sehari sebelum dia bernikah dengan Encik Jamil dan disebabkan itulah, Puan Amalin dan Encik Jamil membenci Auliya. Perkara itu pada awalnya dirahsiakan daripada Aileen tetapi Auliya kongsikan kepada Adam. Masih berpegang pada janji, Adam kekal simpan kisah tersebut tetapi rupa-rupanya Aileen sudah tahu segala-galanya. Malah, itu jugalah punca Aileen pergi meninggalkan Adam tiga tahun lepas. Aileen fikir, Adam menikahinya hanya kerana Auliya, bukannya atas dasar cinta. Aileen takut Adam akan menceraikannya jadi sebelum itu terjadi, lebih baik Aileen yang pergi dahulu. Apabila Adam dan Aileen sudah meleraikan segala salah faham, akhirnya mereka berbaik. Kala hati masing-masing disambar bahagia, hubungan mereka diuji lagi dengan penerimaan keluarga Aileen. Ibu bapa Aileen tidak boleh menerima Adam sama sekali kerana pada mereka, Adam tidak layak untuk anaknya. Kebencian terhadap Adam bertambah mencanak hanya disebabkan hakikat Adam berkawan baik dengan Auliya. Pada Puan Amalin dan Encik Jamil, taraf Adam sama hina seperti Auliya, yang selalu digelar anak haram. Dah tak mampu bersabar, sudahnya Aileen mengamuk di depan ibu bapanya. Aileen salahkan Puan Amalin kerana tidak tahu menjaga diri sehingga dirogol Kamaruddin, dia juga menyalahkan Encik Jamil kerana tidak melindungi Puan Amalin dengan baik. Dalam pergaduhan anak-beranak itu, Aileen sedar yang Puan Amalin masih trauma akibat dirogol. Pun begitu, Aileen tetap dengan pendiriannya. Walaupun Puan Amalin merupakan mangsa rogol dan Auliya ialah anak hasil perbuatan durjana Kamaruddin, itu tidak memberi dia dan Encik Jamil hak untuk terus-terusan mendera dan melukai Auliya. Aileen cuba sedarkan mereka bahawa kedua-duanya berdosa besar terhadap Auliya dan Aileen juga berkeras untuk mempertahankan hubungannya bersama Adam. Puan Amalin marahkan Aileen pula tetapi Adam muncul, melindungi isterinya. Adam juga berharap Puan Amalin dan Encik Jamil sedar khilaf mereka, juga mahukan mereka menerima dia sebagai menantu. Tetapi apa pun yang terjadi, Adam takkan pernah ceraikan Aileen. Sekali wanita itu menjadi isterinya, hanya Allah yang berhak menarik semula gelaran tersebut. Bukan sekadar ibu bapa Aileen yang menjadi penghalang dalam hubungan mereka, bahkan Zayyan juga. Rupanya dalam diam, dia menaruh hati terhadap Aileen. Disebabkan Zayyan tidak tahu hal pernikahan Adam dan Aileen, Zayyan cuba memujuk wanita itu untuk menerimanya. Bersungguh-sungguh Zayyan memberi janji bahawa dia akan bahagiakan Aileen, lebih-lebih lagi disebabkan dia memiliki segala-galanya yang tidak dipunyai Adam. Namun Aileen tolak perasaan Zayyan mentah-mentah. Hal pernikahannya dengan Adam pun, masih dirahsiakan maka tercetuslah salah faham. Zayyan fikir Aileen dan Adam melakukan maksiat di dalam rumahnya jadi kediaman keluarga Zayyan kecoh dengan perbalahan mereka pula. Akhirnya, hal pernikahan Aileen dan Adam diketahui semua orang. Zayyan masih cuba merebut hati Aileen tapi Aileen tetap dengan keputusannya. Hatinya hanya mahukan Adam seorang. Itu sahaja. Dua bulan berlalu, Adam dan Aileen sudah memulakan hidup baharu. Mereka kini tinggal bersama, berdua-duaan. Selama dua bulan itu juga, Aileen masih belum berbaik dengan keluarganya sementara hubungan bersama Zayyan masih belum pulih. Daripada apa yang Aileen tahu, Puan Amalin kini sedang menjalani sesi rawatan dengan pakar psikiatri. Sewaktu Aileen dan Adam ke rumah keluarga Zayyan, Tuan Dahlan menawarkan biasiswa pelajaran untuk Aileen. Dia terima dengan senang hati. Kemudian Aileen, Adam dan Zayyan duduk berbincang. Zayyan meminta maaf kepada pasangan suami isteri itu sebelum dia pamit diri. Waktu itu juga, Qila, adik angkat Adam muncul. Tersenyum-senyum Aileen sendirian kerana dia tahu Qila sudah lama menaruh hati pada Zayyan. Sempat Aileen berdoa, semoga Qila berjodohan dengan Zayyan. Setelah menerima panggilan daripada Encik Jamil yang bertanyakan lokasi pusara Auliya, Aileen dihurung sejuta prasangka. Dia bimbang Encik Jamil dan Puan Amalin akan melepaskan amuk di pusara Auliya tapi ternyata, dia tersilap. Rupa-rupanya ibu bapanya ke sana untuk menziarahi kubur Auliya buat julung kalinya, bersama sesalan yang tak mampu digambarkan dengan kata-kata. Mereka berdua sudah menyedari dosa mereka terhadap Auliya. Aileen dan Adam cuba meyakinkan Puan Amalin dan Encik Jamil bahawa Auliya sentiasa memaafkan mereka dan benar-benar ikhlas menyayangi kedua-duanya. Sekembalinya daripada sana, Encik Jamil menyatakan hasratnya untuk Adam menguruskan perniagaan jamunya kerana Encik Jamil hendak bersara dan meluangkan masa bersama keluarga. Awalnya Adam enggan tetapi setelah dipujuk Aileen, Adam bersetuju. Setelah segala kekusutan dan masalah dirungkai, masih ada sesuatu yang menghantui fikiran Adam. Dia masih tertanya-tanya tentang Aileen. Tiga tahun lepas, Aileen tinggalkannya selepas malam pertama mereka, yang telah dimulakan oleh Aileen sendiri. Adam panasaran, ingin tahu sama ada malam pertama itu diinginkan Aileen dan atas kerelaannya sendiri ataupun Aileen hanya terbawa-bawa dengan perasaan sedihnya kerana waktu itu Aileen baru tahu kisah silam Auliya. Kata Aileen, dia sedar segala-galanya sewaktu memulakan malam pertama mereka dan dia juga akui, dia memang mendambakan Adam. Gembira Adam mendengarkan pengakuan tersebut. Ditarik Aileen ke dalam dakapan sambil dia ungkap, “hanya ingin kamu”. Di bahagian epilog, imbas kembali sewaktu Aileen dan Auliya menonton kartun Cinderella. Aileen kata, Cinderella mengajarnya bahawa seseorang perlukan hati yang sangat besar untuk memaafkan segala kejahatan orang lain. Dalam masa yang sama, Auliya juga meletakkan dirinya di tempat Cinderella, Puan Amalin ialah Lady Tremaine manakala Aileen ialah adik-beradik tirinya. Hati jahat Auliya membayangkan betapa bagusnya kalau Aileen tiada di dalam hidupnya. Pasti dia boleh miliki kasih sayang Puan Amalin. Tetapi Aileen kata, kalau Aileen jadi Cinderella pun, tidak mengapa. Dia rela menghadap semua layanan buruk Lady Tremaine, asalkan Auliya ada di sisinya. Sebenarnya kalau diberi peluang untuk menjadi Cinderella pun, Aileen tak nak. Dia tak perlukan Prince Charming, dia tak perlukan hidup kaya-raya. Dia hanya mahu menjadi Nurul Aileen kerana disebabkan itulah, dia ada Nurul Auliya sebagai kakaknya. Semerta hati Auliya dipagut hiba. Dalam diam, dia bencikan dirinya yang tergamak mencemburui Aileen dan membayangkan betapa bagusnya kalau Aileen tiada. Sedangkan selama ini, Aileen yang selalu ada untuknya. Hati Auliya berdesis mengatakan dia juga rela menjadi Nurul Auliya dan menerima semua layanan buruk Puan Amalin dan Encik Jamil kepadanya, asalkan dia ada Nurul Aileen sebagai adiknya, juga Adam Haidar sebagai sahabatnya.