商品资料:
Description
内容简介
membawakan kisah Zettrion, sebuah dunia tanpa warna dan tiada undang-undang yang terpakai di situ melainkan amalan sihir yang berleluasa. Pertarungan sentiasa berlaku. Manusia yang lebih kuat dan kejam akan dihormati berdasarkan pada pangkat yang tertera pada lengan manusia di Zettrion ini. Efix, manusia putih yang besar dan kuat tetapi pecinta kedamaian. Dan kerana dia tidak seperti manusia lain dan sikapnya yang berbeza itu, Efix dibenci oleh keluarganya sendiri. Impian Efix adalah untuk berhijrah ke planet Bumi kerana manusia di Zettrion ini berasal dari planet Bumi. Bagi Effix, Bumi punyai keindahan dan keamanan yang didambakannya. Hasratnya itu semakin bergelora apabila dia termakan dengan hasutan Izze bahawa manusia yang paling kejam dan yang mencapai pangkat paling tinggi akan ditumbuhi Sayap Hitam yang membolehkan mereka terbang ke planet Bumi. Efix mulai melakukan kejahatan tetapi telah diselamatkan oleh Krige, juga seorang manusia putih. Krige membawa Efix ke Wit Dorpie, perkampungan rahsia manusia putih. Diperkenalkan dengan Jevic, pencipta genius untuk segala ciptaan yang digunakan untuk mempertahankan diri serta perkampungan Wit Dorpie itu. Efix bersetuju menyertai pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyelamatkan manusia putih yang masih berada di luar Wit Dorpie. Bersama dengan ahli baharu yang berjaya dijejaki oleh Efix dan Krige iaitu Remi dan Delmin, beserta latihan fizikal dan latihan kerohanian yang disediakan oleh Jevic kepada mereka, misi awal menyelamatkan bayi-bayi dan kanak-kanak manusia putih telah berjaya dilaksanakan oleh pasukan khas ini. Namun, dalam masa yang sama, perkampungan Wit Dorpie telah dicerobohi oleh manusia putih yang menghantar makhluk seruan dengan menggunakan ilmu hitam atau sihir. Sistem kawalan yang dicipta oleh Jevic ternyata tidak dapat menyelamatkan Wit Dorpie dari dicerobohi dan dimusnahkan. Walaupun pasukan khas dan penduduk kampung dapat mengalahkan makhluk-makluk seruan itu tetapi perkampungan Wit Dorpie itu telah musnah. Efix kian resah kerana dia melihat perkampungan Wit Dorpie tidak selamat untuk didiami lagi. Mampukah amalan sihir merubah manusia putih dan akan ada lagikah manusia putih yang mendiami Zettrion? Benarkah pangkat tertinggi kejahatan iaitu Magna berjaya menumbuhkan Sayap Hitam kerana kemunculan manusia bersayap di Zettrion masih tidak dapat dibuktikan lagi.
Iwan Reaz merupakan nama pena kepada pemilik nama Ridzuan Mohd Ghazali. Berasal dari Kajang, Selangor. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari dari Temple University. Kini bertugas sebagai Penolong Pengurus di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA). Penulis buku Melodi Hati, Hazim Aizat & Muzik, Brr Sejuknya Salji, Diari Untuk Ibu, Goodbye New York, Philly Aku Culture Shocked, Suara Tanpa Bahasa, Memotret Kenangan dan kumpulan cerpen Hologram. Turut menyumbang karya eceran berbentuk puisi dan cerpen untuk disiarkan dalam surat khabar dan majalah tempatan seperti Mingguan Malaysia, Sinar Harian dan Tunas Cipta.